Tiada umrah dalam waktu terdekat, paling awal mungkin Sep depan

SINGAPURA: Ibadah umrah masih belum boleh dilakukan oleh para jemaah Singapura dalam waktu terdekat ini. Paling awal jemaah mungkin dapat mengerjakan ibadah itu adalah selepas suku ketiga 2021.

Perkara ini dijelaskan Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) selepas pihaknya menerima banyak pertanyaan – ada yang terkait dengan iklan-iklan yang menawarkan pakej umrah di media sosial.

Menurut AMTAS dalam sidang media pada Rabu (30 Dis), sejauh ini belum ada agensi pelancongan di Singapura yang boleh mengeluarkan visa umrah.

“Keseluruhan masyarakat Singapura dijangka (boleh) divaksinasi pada sekitar suku ketiga 2021. Jadi sekiranya semua berjalan lancar, mudah-mudahan kita akan dapat melihat umrah mula kembali selepas musim haji. Ini masih dalam perancangan, mudah-mudahan dalam sekitar bulan September (depan). Itu yang kita lihat,” kata Timbalan Presiden AMTAS, Ustaz Jalaluddin Hassan.

AMTAS bagaimanapun belum dapat memberikan kepastian tentang sama ada rakyat Singapura akan dapat mengerjakan ibadah haji pada tahun depan.

Sidang media AMTAS.

“Kita harus tunggu pengumuman-pengumuman rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi. Biasanya ia akan diputuskan pada peringkat G2G – antara kerajaan Saudi dan juga pemerintah Singapura,” jelas Encik Shaik Dawood Mohd Yacobb selaku Setiausaha Kehormat AMTAS.

RISIKO & KOS “MEMERANJATKAN”

Mengulas lebih lanjut tentang ibadah umrah, AMTAS menggalakkan ibadah umrah tidak dilaksanakan sekalipun ia dibenarkan dalam masa beberapa bulan mendatang.

Persatuan itu berpegang kepada pendirian tersebut atas beberapa sebab.

Antaranya adalah isu kos. Sebarang perjalanan ke luar negara kini memerlukan pelawat menjalani ujian swab dan kuarantin.

Ditambah pula dengan pelbagai langkah berjaga-jaga lain yang juga melibatkan kos, bayaran yang perlu ditanggung “boleh memeranjatkan para jemaah”, kata Ustaz Jalaluddin.

BACA: Harga pakej umrah dijangka naik sehingga 30% apabila dimulakan kelak

Tidak hanya itu sahaja. Ada risiko penutupan sempadan secara mendadak.

Awal minggu ini, Arab Saudi memutuskan untuk melanjutkan tempoh penutupan sempadan di tengah-tengah kebimbangan terhadap penularan varian baru COVID-19.

(Gambar: Haramain/Facebook)

“Kalau kita dapat menjalankan (ibadah umrah) kemudian ada penutupan mendadak, semua usaha kita akan terbiar begitu sahaja. Yang akan menjejas teruk adalah para jemaah kerana semua perbelanjaan telah dibuat dan untuk mendapatkan wang kembali agak sukar kerana perkara-perkara di luar jangkauan,” tambah Encik Shaik Dawood.

BIMBANG JEMAAH HAMPA

AMTAS juga bimbang peraturan yang begitu ketat di Arab Saudi sekarang akan akhirnya membuat jemaah hampa.

Mengikut peraturan yang sedang dikuatkuasakan di Arab Saudi sekarang, para jemaah perlu menjalani kuarantin di hotel selama dua hari sejurus selepas mereka tiba di negara itu. Apabila mereka diuji negatif COVID-19, barulah mereka dibenarkan melakukan umrah.

Pelaksanaan umrah pula hanya setakat tiga jam dan sekali sahaja sepanjang tempoh jemaah berada di sana.

Bagi menunaikan solat fardu di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, slot perlu didapatkan terlebih dahulu menerusi aplikasi E’tamarna.

“Kalau tidak, para jemaah hanya dapat melakukan solat di dalam bilik hotel masing-masing saja. Itulah peraturan norma baru umrah ini,” kata Encik Shaik Dawood.

(Gambar: Haramain/Facebook)

“Kita khuatir. Kalau mereka benar-benar mahu melaksanakan ibadah umrah ini, walaupun dengan peraturan-peraturan yang begitu ketat, ia akan membebankan mereka nanti juga. Maka itulah, kami sangat memandang serius dan sangat-sangat menasihati para jemaah kita, tolonglah, jangan melakukan sebarang pendaftaran (bagi pakej umrah yang diiklankan di media sosial).”

AMTAS selanjutnya menggesa orang ramai supaya hanya merujuk kepada sumber-sumber yang sahih perihal haji dan umrah.

Ini selain hanya berurusan dengan agensi-agensi di bawah naugannya.

JANGAN PANIK, TEGAS AMTAS

Diminta mengulas tentang para jemaah yang sudah mendaftar bagi pakej umrah 2020 tetapi tidak dapat menunaikannya, AMTAS menyatakan agensi-agensi di bawah naungannya rata-rata diberi nota kredit oleh pihak hotel di Arab Saudi.

Terakhir kali ada keberangkatan dari Singapura adalah pada pertengahan Mac 2020.

“Mereka memberi kita jaminan, bahawa wang yang kita berikan kepada mereka itu akan disimpan dan kita boleh menggunakan untuk musim umrah yang akan datang. Tapi bila ia akan dilaksanakan, kita tidak tahu,” terang Encik Shaik Dawood.

Mentelah lagi, sebagaimana yang ditetapkan Arab Saudi sekarang ini, hanya mereka yang berusia antara 18 hingga 50 tahun dibolehkan menunaikan umrah. Mereka juga tidak boleh mengalami sebarang penyakit kronik – seperti penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi.

Namun, dalam senarai jemaah Singapura yang tidak dapat menunaikan umrah pada tahun ini, “jemaah yang berusia menjangkaui 50 tahun lebih ramai”.

“Untuk penerbangan pula, ada sebahagian syarikat penerbangan memberi nota kredit, ada sebahagian yang telah memulangkan kepada GSA. Bagi jemaah yang terjejas, boleh berbincang dan berhubungan dengan GSA yang mereka pilih untuk mencari jalan keluar yang terbaik,” tambah Encik Shaik Dawood.

“Kami berharap para jemaah bertenang. Sebab usaha-usaha dijalankan. Mereka yang sudah daftar sebelum ini, bukan yang akan datang, masih lagi dalam keadaan yang baik di tangan kami. Dan kami menantikan waktu pembukaannya dan kelulusan daripada pihak Arab Saudi yang boleh meningkatkan usia keberangkatan daripada 50 kepada yang lebih lagi,” kata Ustaz Jalaluddin lagi.

– BERITAmediacorp/aq
SUMBER : https://berita.mediacorp.sg/

Terima Kasih Kerana Melawat Website Kami

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Umrahku.my will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.