SOP ibadah Umrah belum dimuktamadkan

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyediakan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung pelaksanaan ibadah umrah yang telah dibenarkan semula kerajaan namun perkara itu masih belum dimuktamadkan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, walaupun garis panduan SOP itu telah dilengkapkan, ia belum dimuktamadkan lagi memandangkan masih memerlukan input serta kelulusan daripada agensi dan kementerian lain yang terlibat.

“Kebenaran semula mengerjakan ibadah umrah itu baharu sahaja diputuskan kabinet semalam di mana penggantunggan sebelum ini adalah selama sebulan iaitu 8 Januari ke 7 Februari namun tidak semestinya 8 Februari itu boleh terbang terus ke sana (Arab Saudi).

“Terdapat beberapa perkara lagi yang perlu diteliti seperti dari segi SOP, tempahan dan sebagainya yang perlu melibatkan pelbagai pihak berkaitan sebelum dimuktamadkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Busana Tradisional Malaysia di bawah Inisiatif Diplomasi Budaya bagi memperkasakan aktiviti seni, budaya dan warisan negara yang turut dihadiri Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di sini hari ini.

Jelas Nancy, beliau juga telah berhubung dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut bersetuju untuk memberikan input berhubung SOP yang disediakan pihaknya.

“Beliau (Khairy Jamaluddin) kini masih berada di luar negara atas urusan kerja namun telah bersetuju untuk bersama-sama meneliti perkara ini dan memberikan input sebelum ia dimuktamadkan.

“Tentang proses kuarantin juga kita ada sertakan dan ia turut memerlukan persetujuan kementerian juga agensi lain seperti Kementerian Kewangan (MOF) dan Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (Nadma) memandangkan prosedur kuarantin bukanlah di bawah bidang kuasa MOTAC,” ujar beliau.

Mengulas lanjut berhubung tuntutan pampasan jemaah yang tidak dapat terbang menunaikan umrah sebelum ini, Nancy berkata, nama mereka yang terlibat telah pun diserahkan kepada MOF untuk tindakan selanjutnya.

“MOF sekarang ini meminta kami bincangkan perkara tersebut secara terperinci bersama pihak Tabung Haji (TH) memandangkan ada mekanisma pembayaran yang akan diperhalusi.

“Kita juga akan memanggil mereka yang terlibat, iaitu mereka yang telah menganjurkan trip pergi ke Mekah dan sebagainya, jadi perbincangan yang masih berjalan ini akan turut melibatkan mereka,” ujarnya. – K! ONLINE

SUMBER : KOSMO.COM.MY

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terima Kasih Kerana Melawat Website Kami

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Umrahku.my will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.