Mohon jemaah umrah lengkap tiga dos bebas kuarantin [METROTV]

Seremban: Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyambut baik langkah kerajaan membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari hadapan.

Naib Presiden Umrah dan Haji MATTA, Mohd Azri Abd Razak, berkata, pihaknya yakin keputusan itu melegakan banyak pihak terutama umat Islam yang ingin menunaikan umrah dan sudah membuat persiapan lebih awal.

“Kami (MATTA) menerima baik langkah kerajaan membenarkan umrah kembali beroperasi seperti biasa dan diharap tiada lagi penangguhan kerana ia akan memberi implikasi kepada sektor ini khususnya agensi pelancongan selain kepada jemaah umrah sendiri.

“Saya yakin semua pihak terbabit akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang tetapkan pihak berkuasa,” katanya semalam.

Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk membenarkan semula umat Islam mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini seperti mana diumumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, semalam.

Mohd Azri berkata, pihaknya berharap supaya jemaah yang negatif Covid-19 dan sudah mengambil dos ketiga dikecualikan daripada kuarantin kerana kaedah itu dipraktikkan di Arab Saudi.

“Jemaah di sana juga mengikut SOP yang ditetapkan dengan mengambil suntikan vaksinasi penuh.

“Oleh itu, kami juga berharap ketibaan jemaah ketika pulang hanya dikenakan membuat kit ujian pantas (RTK-Antigen) sahaja bertujuan memastikan mereka tidak perlu menunggu lama di balai ketibaan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga berharap kerajaan dapat membuka kaunter khas untuk jemaah umrah di balai ketibaan bagi melancarkan urusan berkenaan.

Pada 1 Januari lalu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari 2022 susulan peningkatan varian Omicron COVID-19 dalam kalangan jemaah yang pulang dari Arab Saudi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, penilaian risiko situasi COVID-19 membabitkan varian itu di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.

SUMBER : HMETRO.COM.MY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terima Kasih Kerana Melawat Website Kami

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Umrahku.my will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.