Kerajaan benar tunai umrah mulai 8 Februari

KUALA LUMPUR: Kabinet hari ini membuat keputusan membenarkan umat Islam kembali mengerjakan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata keputusan itu dibuat berikutan kerajaan tidak berhasrat melanjutkan penangguhan sementara ibadah umrah yang berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Bagaimanapun beliau berkata, garis panduan prosedur operasi standard (SOP) baharu susulan penarikan semula penangguhan itu akan dibincangkan secara terperinci termasuk bersama agensi umrah.

“Baru tadi kami buat keputusan seperti mana dinyatakan dahulu yang penangguhan umrah hanya satu bulan sahaja jadi bermula 8 Februari ini bolehlah agensi pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah dan inilah yang sudah diputuskan hari ini oleh Kabinet.

“SOP baharu akan dibincang bersama agensi pelancongan umrah kerana kita mahu pastikan apabila balik (dari Tanah Suci) nanti mereka (jemaah) dapat pilih di mana mereka nak dikuarantinkan,” katanya kepada media selepas pelancaran Video Dream Malaysia melalui kerjasama Tourism Malaysia dan GoPro Malaysia di Hotel EQ, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Ramlan Ibrahim; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab dan Pengurus GoPro Asia Tenggara, Sangeet Singh.

Sebelum ini Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.

Mengenai penerbangan pertama bagi jemaah umrah bermula 8 Februari ini, Nancy berkata ia masih belum diputuskan.

“Tapi mungkin agensi pelancongan umrah sudah mengetahui sebab kami juga sudah adakan perjumpaan dengan mereka tidak sampai dua minggu lalu.

“Saya rasa mereka sudah membuat persediaan untuk aktiviti atau promosi mereka selanjutnya,” katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terima Kasih Kerana Melawat Website Kami

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Umrahku.my will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.