Harga lantai kos umrah RM6,900

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menetapkan harga lantai ibadah umrah adalah RM6,900 bagi tempoh 12 hari dan 10 malam.

Katanya, penetapan kadar kos umrah itu dicapai hasil perbincangan dengan persatuan khidmat pelancongan dan umrah, baru-baru ini.

Kementerian itu berkata, kadar harga baharu itu selepas mengambil kira perkembangan semasa terutama berlaku peningkatan kos berikutan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di pihak Arab Saudi dan Malaysia.

“Antara faktor yang mempengaruhi peningkatan kos adalah bilangan kapasiti di dalam bilik penginapan di Arab Saudi, kapasiti pergerakan pengangkutan yang membenarkan 50 peratus dari jumlah kapasiti sebenar, pengurusan mutawif serta ujian calitan COVID-19.

“Harga lantai ini akan disemak semula apabila wabak COVID-19 diisytiharkan berakhir dan keadaan sudah kembali normal selain kekangan SOP tidak lagi dilaksanakan Malaysia dan Arab Saudi,” kata kementerian dalam kenyataan, hari ini.

Kali terakhir kadar harga lantai kos ibadah umrah ditetapkan ialah pada tahun 2016 iaitu pada paras harga RM4,900.

Kenyataan itu berkata, harga lantai itu adalah panduan bagi pihak kementerian melaksanakan pemantauan terhadap industri umrah, manakala orang ramai boleh menjadikannya sebagai panduan dalam membuat pertimbangan untuk memilih syarikat mana yang sesuai dengan bajet mereka.

Justeru kementerian menasihatkan bakal jemaah mengambil langkah berhati-hati jika mendapati harga ditawarkan terlalu rendah atau terlalu tinggi daripada yang ditetapkan bagi mengelak kes penipuan.

“Orang ramai boleh menghubungi pejabat MOTAC negeri atau melayari laman web rasmi kementerian bagi mengenal pasti syarikat yang dilesenkan,” kata kementerian itu.

Sementara itu, bagi menangani kes penipuan pakej umrah, kementerian mewajibkan syarikat yang dilesenkan perlu memohon kebenaran bagi mengiklankan promosi umrah.

Katanya, ia selaras dengan Peraturan 6(1A)(a), Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) iaitu pengendali pelancongan berlesen tidak boleh mengiklankan pakej yang ditawarkan tanpa kelulusan Pesuruhjaya Pelancongan.

Kementerian turut mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) untuk membantu MOTAC merangka serta memperhalusi isu pengiklanan umrah ini.

“Berdasarkan sesi libat urus yang dijalankan, persatuan terbabit memahami dan menyokong inisiatif dilaksanakan MOTAC demi memelihara kepentingan Keluarga Malaysia dan juga pemain industri umrah itu sendiri.

“Sehingga kini, kementerian menerima 31 permohonan iklan. Setiap iklan yang diluluskan akan diberikan nombor siri khas iklan umrah yang perlu dipaparkan di iklan yang akan dipromosi.

“Ini bertujuan membantu kementerian mengenalpasti iklan haram pakej umrah,” katanya yang turut mengesahkan sebanyak 444 syarikat pengendali umrah berlesen berdaftar dengan MOTAC.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/10/877083/harga-lantai-kos-umrah-rm6900

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terima Kasih Kerana Melawat Website Kami

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Umrahku.my will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.