Syarat baharu Arab Saudi sebelum benar umrah

Kuala Lumpur: Umat Islam negara ini yang berhasrat menunaikan umrah pada tahun hadapan berkemungkinan perlu memohon kebenaran masuk ke Tanah Suci dengan kerajaan Arab Saudi terlebih dahulu, sebelum membuat visa.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, peraturan baharu itu dimaklumkan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussein Saeed Qattan dalam pertemuan, semalam.

Katanya, ia antara prosedur yang dicadang dikenakan kerajaan negara berkenaan bagi mengawal penularan wabak Covid-19, selain mahu mengehadkan kemasukan jemaah umrah luar negara pada satu-satu masa.

“Ketika ini Arab Saudi hanya membenarkan rakyatnya melakukan umrah, bagi rakyat asing berkemungkinan Januari tahun depan. Itu pun tertakluk kepada kira-kira 20 negara yang mendapat kebenaran.

“Malam tadi (semalam) atas jemputan Duta (Mahmoud Hussein) untuk makan malam, saya diberitahu setiap jemaah umrah perlu buat permohonan kemasukan dahulu sebelum memohon visa.

“Apabila dapat tarikh untuk masuk ke Makkah, barulah boleh diteruskan dengan permohonan visa dan prosedur lain, malah syarat masih ketat termasuk penjarakan fizikal. Nak buat tawaf sunat juga tidak dibenarkan, hanya boleh tawaf umrah sahaja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Razali berkata, Mahmoud Hussein bagaimanapun tidak memperincikan prosedur memohon kebenaran masuk itu dan kerajaan Arab Saudi difahamkan sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) keseluruhan bagi umrah, termasuk bilik penginapan jemaah dan pergerakan di lapangan terbang.

Untuk rekod, Arab Saudi mencatatkan 326,930 kes Covid-19 dengan 4,330 kematian setakat semalam, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam pada itu, beliau memberitahu Papuh dalam perbincangan dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) untuk menjadikan Masjid KLIA sebagai tempat mendaftar bagi jemaah umrah untuk mengurangkan kesesakan di lapangan terbang.

“Apabila kebenaran umrah dibuka semula, segala urusan termasuk ujian swab (calitan tekak) dan daftar masuk dicadang dilakukan di Masjid KLIA kerana mempunyai ruang luas dan terbuka,” katanya.

Beliau juga berpandangan bahawa setiap jemaah umrah yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin wajib di tempat diwartakan kerajaan dan bukan di rumah bagi mengelak menjadi tumpuan saudara-mara atau kenalan.

sumber : https://www.hmetro.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *