12,000 bakal jemaah tunggu kebenaran tunai umrah

SHAH ALAM – Seramai 12,000 bakal jemaah dilaporkan sudah berdaftar dengan Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd (Andalusia) untuk menunaikan umrah pada tahun ini, namun terpaksa menunggu kebenaran daripada kerajaan Malaysia ekoran situasi pandemik koronavirus (Covid-19) yang masih belum menunjukkan pemulihan.

Pengerusinya, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, jumlah tersebut adalah bilangan yang berdaftar dengan agensinya sejak Mac lalu dan percaya terdapat ramai lagi individu yang mendaftar dengan agensi lain untuk menunaikan umrah.

Menurutnya, disebabkan penularan Covid-19 yang kembali meningkat di negara ini, pihaknya melihat bakal jemaah ini masih perlu menangguhkan hasrat mereka sehingga awal tahun depan sebelum mendapat ketetapan dari kerajaan Malaysia tentang kebenaran untuk ke luar negara menunaikan umrah.

“Buat masa ini, di Andalusia, kita senaraikan dahulu nama-nama mereka yang berdaftar tanpa bayaran deposit untuk menunaikan umrah.

“Kita akan tunggu sehingga tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) berakhir dijangka selepas 30 Disember nanti dan jika kes Covid-19 menunjukkan perkembangan positif atau terkawal, berkemungkinan kerajaan boleh mempertimbangkan tentang soal kebenaran untuk bakal jemaah menunaikan umrah ke luar negara pada awal tahun depan.

“Jika sudah ada kelulusan atau kebenaran dari kerajaan nanti barulah kita akan minta bakal-bakal jemaah yang sudah berdaftar untuk membuat proses permohonan visa, permit kebenaran dan sebagainya. Selagi belum ada ketetapan yang sahih, kita akan tunggu sahaja dahulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga tidak mahu menyusahkan bakal jemaah yang sudah berdaftar dengan urusan pembayaran atau proses permohonan visa dan lain-lain kerana belum ada kebenaran daripada kerajaan Malaysia.

“Tapi kita sudah maklumkan mereka untuk bersedia dengan kadar kenaikan kos sehingga 25 peratus ekoran banyak kos tambahan yang perlu ditanggung disebabkan pandemik ini termasuk kos ujian saringan Covid-19 serta bayaran kepada muassasah yang mengawal pergerakan ibadah jemaah ketika menunaikan umrah di sana,” katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas berhubung penetapan had umur mengerjakan umrah yang ditetapkan Arab Saudi baru-baru ini, Md Daud berkata, pihaknya melihat perkara itu sebagai wajar kerana ia dilaksanakan hanya sementara waktu pada tempoh Covid-19 ini.

Menurutnya, beliau juga baru sahaja berhubung dengan pengendali ibadat umrah atau muassasah bagi Andalusia di Arab Saudi berkenaan hal tersebut dan dimaklumkan kerajaan Arab Saudi mengambil langkah itu kerana ramai golongan yang berisiko meninggal dunia disebabkan Covid-19 adalah dari kalangan yang berusia 60 tahun ke atas.

“Jadi penetapan had umur itu adalah sebagai langkah kawalan oleh kerajaan Arab Saudi dan dibuat sementara waktu sahaja. Jika pandemik beransur pulih atau hilang, dijangka tiada penetapan had umur dilaksanakan.

“Lagipun agensi kami juga amat menitik beratkan soal ini kerana ramai dari kalangan bakal jemaah di negara ini yang hendak menunaikan umrah terdiri daripada kalangan yang sudah pencen dan berusia 60 tahun ke atas,” katanya.

sumber : https://www.sinarharian.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *