Papuh sudah rangka SOP umrah

Kuala Lumpur: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) sudah merangka cadangan beberapa prosedur operasi standard (SOP) berkaitan jemaah umrah.

Pengerusinya Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, cadangan SOP itu untuk dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan kelulusan seterusnya digunakan jika kerajaan membuka semula pintu sempadan kelak.

Katanya, antara cadangan SOP yang dirangka ialah setiap jemaah Malaysia wajib menjalani saringan Covid-19 ujian polymerase chain reaction (PCR).

“Ujian ini hendaklah dilakukan 72 jam sebelum penerbangan. Setiap jemaah akan diberi sijil kesihatan memaklumkan yang mereka bebas Covid-19.

“Syarikat Penerbangan Saudia juga memerlukan sijil ini untuk pengesahan semasa daftar masuk.

“Sebelum 72 jam penerbangan berlepas ke Tanah Suci, jemaah diminta untuk kuarantin kendiri di rumah,” katanya.

Beliau mengulas langkah kerajaan Arab Saudi, baru-baru ini, yang memberi kebenaran kepada jemaah luar negara mengerjakan ibadat umrah selama 10 hari dengan mematuhi SOP ditetapkan negara berkenaan.

Mengulas lanjut cadangan Papuh, Razali berkata, semasa tiba di tanah air pula semua jemaah Malaysia diwajibkan sekali lagi menjalani pemeriksaan saringan kesihatan Covid-19 di pintu masuk negara contohnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2).

“Seterusnya jemaah Malaysia yang sudah selesai melaksanakan ibadat ke Tanah Suci dan tiba di negara ini hendaklah menjalani kuarantin wajib 14 hari di pusat kuarantin yang akan disediakan oleh Papuh.

“Sepanjang tempoh kuarantin ini, jemaah akan dipantau tahap kesihatan masing-masing melalui aplikasi kesihatan yang akan disalurkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Beliau berkata, Papuh juga sudah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak lapangan terbang KLIA dan Klia2 serta & KLIA 1 serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Perbincangan itu, katanya, fokus kepada kaedah mengelakkan kesesakan di terminal lapangan terbang mengikut SOP norma baharu yang mana penjarakan satu meter diperlukan.

“Sehubungan itu, Papuh dan pihak MAHB akan mengumumkan tatacara baharu untuk daftar masuk jemaah mengikut norma baharu dalam masa yang terdekat,” katanya.

Ahad lalu, Arab News melaporkan selepas tujuh bulan ibadat umrah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, kira-kira 10,000 jemaah antarabangsa tiba di Arab Saudi sebagai kumpulan pertama dibenarkan melaksanakan ibadat berkenaan.

sumber : mymetro berita online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Terima Kasih Kerana Melawat Website Kami

There was an error while trying to send your request. Please try again.

Umrahku.my will use the information you provide on this form to be in touch with you and to provide updates and marketing.